Berita Dari Pedalaman Sabah

Berita mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kawasan pedalaman Sabah terutamanya di daerah Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan. Turut dimuatkan berita-berita yang menarik di sekitar negeri Sabah.

150 petani keluar biaya sendiri baiki pengairan

leave a comment »

1409-padi_2

14th September, 2009

KENINGAU: Demi untuk memastikan tanaman padi sawah membesar subur, kira-kira 150 orang petani di Kg. Toboh Baru sanggup bergolok bergadai, untuk mengumpul wang bagi membiayai pembaikan parit pengairan yang sering dimusnahkan banjir.

“Petani telah berbelanja lebih daripada RM50,000 untuk membiayai kos pembaikan kinalian (parit pengairan) ini,” jelas wakil penduduk Sutili Masito, 50.

Sutili berkata, penduduk membeli beribu-ribu helai karung untuk disi tanah yang digunakan untuk menambak tebing parit saliran itu, disamping berpuluh ribu lagi dibelanjakan untuk pembelian ‘plat alminium’ yang digunakan sebagai dinding beberapa lokasi parit yang mengalami kerosakan teruk.

Katannya, parit saliran itu yang juga dikenali dengan nama tempatan sebagai Kinalian, dibina oleh nenek moyang petani itu sejak awal 50-an, dan sehingga kini masih menjadi sandaran utama sebagai sumber air kepada seluas 450 ekar sawah di situ.

Sutili berkata, sejak kebelakangan ini parit pengairan tradisional sejauh kira-kira 2 Km itu, mengalami banyak kerosakan disebabkan ancaman banjir.

“Kami mengalami kerugian besar selepas padi musnah disebabkan tidak ada air,” jelas Sutili.

Seorang petani yang lain, Jupili Timun, 45, berkata, banjir kilat begitu mudah berlaku di kawasan itu, ekoran daripada perubahan ekologi alam pada era ini.

“Masa dulu banjir jarang berlaku, dan kinalian kami boleh bertahan bertahun- tahun,” katannya dan menambah, sejak lebih 20 tahun yang lalu Sungai Pamalan yang menjadi tadahan untuk mendapatkan air pengairan, sering banjir dan merosakkan banyak lokasi parit itu.

“Rasannya tidak berbaloi dengan hasil padi yang kami perolehi,” tambah beliau dan mendesak, supaya kerajaan memberi perhatian serius mengenai masalah yang mereka hadapi itu.

Ketika tinjauan dilakukan di lokasi itu, berpuluh petani bergotong royong membina ampangan, sementara yang lain mengisi dan mengendong berpuluh kampit karung yang diisi tanah, untuk digunakan sebagai penambah tebing parit saliran air itu.

Penduduk mendakwa, sudah bertahun- tahun mereka melakukan kerja yang sama semata-mata untuk memastikan tanaman padi subur, dan mengeluarkan hasil yang memuaskan.

Begitupun, penduduk mendakwa sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka kerugian besar selepas berhektar-hektar sawah padi mereka kering ekoran tidak mendapat sumber air.

Written by britapdlmn

September 15, 2009 at 3:32 PM

Posted in Uncategorized

Leave a comment