Berita Dari Pedalaman Sabah

Berita mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kawasan pedalaman Sabah terutamanya di daerah Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan. Turut dimuatkan berita-berita yang menarik di sekitar negeri Sabah.

Bornian Timber pulihara alam semula jadi

leave a comment »

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my

Pokok ditebang tidak dibakar, dibiar reput secara evolusi

SOOK: Tiada sebatang pokok pun dibakar, sebaliknya semua pokok yang ditebang atau ditumbangkan menggunakan jentera dibiar reput secara evolusi.

Penebangan pokok dan pembersihan kawasan untuk perladangan kini bukan lagi mengikut kaedah pembakaran terbuka yang mencemar udara, malah menyebabkan kemusnahan sumber semula jadi yang boleh memusnahkan hutan jika tidak dikawal.

Kaedah pembersihan hutan berkenaan dipraktikkan Bornian Timber Sdn Bhd (Bornian Timber), iaitu syarikat berasaskan pembalakan sekitar 1970-an hingga pertengahan 1990-an.

Peralihan tumpuan daripada syarikat yang berfungsi menebang balak untuk dijadikan kayu bergergaji dan papan untuk pasaran domestik dan antarabangsa kepada syarikat perladangan getah, mendorong syarikat berkenaan mengaplikasikan Unit Pengurusan Hutan (FMU) menerusi Pengurusan Hutan Secara Mapan (SFM) lebih sempurna.

Ia bukan setakat mematuhi peraturan penebangan pokok mengikut FMU dan SFM demi pemeliharaan alam sekitar, malah menjamin kelangsungan sumber perhutanan berkekalan bagi tempoh 100 tahun akan datang.

Ketika meninjau kaedah pembersihan di kawasan seluas 3,500 hektar milik Bornian Timber di Hutan Simpan Ulu Sungai Miliam, dekat sini baru-baru ini, Berita Harian diberitahu kaedah itu adalah sebahagian daripada FMU dan SFM ditetapkan Jabatan Perhutanan Sabah.

Pengurus Operasi Bornian Timber, Philip HC Ho, berkata mengikut syarat itu, syarikat yang diberi konsesi pengekalan kawasan perhutanan selama 100 tahun diwajibkan tidak membakar pokok ditebang atau ditumbangkan bagi membolehkan kawasan berkenaan ditanam semula dengan pokok balak.

Kawasan seluas 3,500 hektar itu sudah dimajukan secara berperingkat sejak 2005. Ia adalah sebahagian daripada keseluruhan kawasan 25,000 hektar yang bakal dimajukan dengan penanaman getah melalui usaha sama Bornian Timber dengan syarikat berpangkalan di Guangdong, China – Kumpulan Guangken Rubber (GJR) dalam tempoh lapan tahun lagi.

“Jika dulu kebanyakan syarikat pembalakan dan petani nomad membakar pokok ditebang, sekarang tidak lagi. Setiap konsesi pembalakan harus dikekalkan melalui empat kaedah, iaitu Perlindungan Konservasi, Kawasan Pengurusan Hutan Asli, Kawasan Perladangan Pokok Industri (ITPA) dan Perhutanan Komuniti.

“Bagi kawasan seluas 25,000 hektar itu, kami akan mengekalkan kawasan perhutanan melalui kaedah ITPA. Kami memilih memajukannya dengan tanaman getah kerana pokok getah juga adalah pokok balak yang mampu menjana pendapatan dalam tempoh 25 tahun akan datang.

“Kami memajukan kawasan seluas 13,000 hektar manakala rakan kongsi kami, Guangken memajukan baki 12,000 hektar. Semua kaedah penebangan pokok dan pengekalan pokok adalah mengikut perjanjian FMU dan SFM yang kami tandatangani dengan Jabatan Perhutanan Sabah,” katanya.

Ho berkata, meskipun pokok yang ditebang itu tidak bernilai dari aspek komersial, ia tidak boleh dibakar begitu saja kerana bakal mendedahkan syarikat berkenaan kepada tindakan undang-undang Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPAS).

Beliau berkata, Bornian Timber mula mengemukakan cadangan FMU dan SFM kepada Jabatan Perhutanan Sabah sejak 2004. Selain pokok getah, syarikat itu juga ada menanam pokok acasia yang berfungsi sebagai bahan utama untuk menghasilkan kertas.

Pada 2007, selepas meninjau kawasan yang bakal dimajukan, pegawai Jabatan Perhutanan Sabah memberi kebenaran kepada Bornian Timber untuk melaksanakan kerja pembersihan kawasan untuk ditanam dengan getah.

Written by britapdlmn

September 1, 2009 at 6:40 AM

Posted in Uncategorized

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: