Berita Dari Pedalaman Sabah

Berita mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kawasan pedalaman Sabah terutamanya di daerah Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan. Turut dimuatkan berita-berita yang menarik di sekitar negeri Sabah.

Pesawah Melalap derita

leave a comment »

Oleh Ismail Mahmud
utusansabah@utusan.com.my

SEORANG pesawah menunjukkan keadaan sawahnya yang tidak dapat diusahakan kerana sungai yang membekalkan air bagi mengairi sawah tersebut kering.



TENOM 31 Ogos – Kira-kira 2,000 penduduk dari empat buah kampung di Melalap, dekat sini, yang kebanyakkannya pesawah bimbang dengan ancaman fenomena El-Nino kerana ia sudah mula menjejaskan proses penanaman padi bagi musim baru.

Penduduk kini buntu dalam mencari penyelesaian apabila Sungai Ligud, Naluyan dan Bako yang menjadi sumber air utama sawah untuk sawah mereka hampir kering kontang.

Sawah padi di kampung yang terlibat seperti Baab, Lagud, Tukalilan Melalap dan Makakumpai sepatutnya sudah mula disalurkan air pada bulan lalu untuk penanaman baru.

Namun keadaan berkenaan membuatkan kerja-kerja membajak pada bulan ini tidak dapat dilakukan sekali gus mengakibatkan jadual penuaian padi di sini tidak menepati masa.

Seorang pesawah, Yusop Tawayon, 65, dari Kampung Lagud berkata, masalah tersebut perlu diatasi segera bagi mengelak pendapatan penduduk kampung terjejas.

“Keluasan sawah di Kampung Lagud ialah kira-kira 30 hektar dan ramai petani mengusahakan sawah dua kali setahun tetapi dengan keadaan ini, tidak mungkin boleh dikerjakan dua kali setahun,” katanya.

Seorang petani lain, Walter Mailap, 47, dari Kampung Baab menggesa pihak Persatuan Peladang Kawasan (PPK) mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut.

Salah satu langkah katanya, ialah dengan melakukan pembenihan awan untuk menghasilkan hujan bagi membolehkan sistem pengairan di sawah mereka tidak ketandusan.

Walter berkata, kawasan sawah di kampungnya adalah lebih luas lagi iaitu melebihi 50 hektar dan tiga sungai tersebut adalah sumber air utama.

SUNGAI Bakoi kering akibat fenomena El Nino.



“Bagaimanapun sungai-sungai ini mengalami keadaan yang sama iaitu paras airnya surut mendadak dan ada yang kering kontang,” ujarnya.

Jangkat Maniam, 48, iaitu petani Kampung Tukalilan pula berkata, keadaan tersebut pertama kali berlaku di Melalap dan ia menimbulkan kegelisahan di kalangan pesawah.

Bagi membantu para pesawah katanya, wakil daripada agensi kerajaan berkaitan perlu turun padang dan mengkaji cara paling cepat untuk mendapatkan sumber air.

“Setakat ini belum ada seorang pun pegawai kerajaan dari agensi atau jabatan bertanggungjawab meninjau masalah ini,” kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jemaah Pengarah PPK Tenom, David Jani berkata, pihaknya bercadang membina empangan berdekatan kawasan sawah bagi mendapatkan sumber air.

Menurutnya, langkah tersebut adalah paling sesuai dalam menghadapi situasi meruncing seperti itu selain turut bersedia membawa cadangan pembenihan awan kepada pihak yang berkenaan.

Written by britapdlmn

September 1, 2009 at 7:22 AM

Posted in Uncategorized

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: