Berita Dari Pedalaman Sabah

Berita mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kawasan pedalaman Sabah terutamanya di daerah Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan. Turut dimuatkan berita-berita yang menarik di sekitar negeri Sabah.

Turun Padang; Bobbey faham masalah dihadapi penduduk

leave a comment »

Oleh Hassan Omar
hassanomar@bharian.com.my

Adun Nabawan gigih bawa pembangunan elak rakyat berasa terpinggir

PENGALAMAN pahit berjalan sejauh empat kilometer (km) berulang-alik dari Kampung Tampanon ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pensiangan sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Keningau (sekarang Sekolah Menengah Gunsanad), membuatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Datuk Bobbey Suan memahami kehidupan masyarakat di luar bandar.

Kini pada usia 55 tahun, Bobbey yang memikul tanggungjawab memajukan anggota masyarakat di lima mukim dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, gigih berusaha membawa pembangunan lantaran tidak mahu rakyat berasa terpinggir daripada arus kemajuan hasil lebih separuh abad kemerdekaan negara.

Berkat komitmen tinggi untuk menyaksikan anggota masyarakat di mukim Nabawan, Pamuntarian, Sepulot, Pegalungan dan Pensiangan secara evolusi mula menikmati kemudahan asas yang walaupun tidak sesempurna masyarakat di bandar dan pinggir bandar, beliau berbangga apabila semakin ramai anggota masyarakat menikmati kemajuan.

Nabawan, pekan kecil di Pedalaman Atas dalam Parlimen Pensiangan adalah kawasan yang dimajukan sejak 1963. Ketika itu, kerajaan menyediakan kawasan seluas 16,704 hektar yang dikenali sebagai tanah skim bagi penempatan penduduk dari kawasan sempadan Sabah-Kalimantan.

Mereka dipindahkan berikutan konfrontasi ditimbulkan Indonesia pada 1963. Penduduk dari pelbagai kampung di sempadan Sabah-Kalimantan seperti Pensiangan, Pegalungan, Kabu, Bantul dan Saliliran terpaksa ditempatkan di tanah skim untuk membolehkan mereka memperoleh tempat tinggal, selain kawasan bagi menjalankan kegiatan ekonomi masing-masing.

Mengenai kemudahan jalan raya, Bobbey mengakui banyak kawasan belum mempunyai kemudahan itu tetapi beliau mahu rakyat memahami bahawa bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed ketika mengadakan lawatan kerjanya ke Parlimen Pensiangan, sudah berjanji membina jalan raya sepanjang 30 kilometer (km) dari pekan kecil Sepulot ke Pegalungan.

“Saya akan membuat tindakan susulan dengan kementerian itu kerana sejak ia diumumkan hujung tahun lalu, nampaknya belum ada kemajuan. Sekarang, penduduk terpaksa bergantung kepada pengangkutan air kerana sejak laluan balak ditinggalkan pada 1994, tiada jalan menghubungkan pekan kecil Sepulot dengan mukim Pegalungan dan Pensiangan,” katanya.

Bagi mukim Pamuntarian, kerajaan akan membina jalan raya dari persimpangan masuk ke Kampung Pamuntarian ke Mesopoh kira-kira lapan km.

Bobbey berkata, pembinaan jalan berkenaan penting bagi membolehkan pekan Sepulot dimajukan sebagai pekan penghubung Nabawan – Kalabakan berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan laluan tidak berturap itu untuk ke Tawau atau Sandakan.

“Hanya 30 peratus daripada keseluruhan DUN Nabawan menerima bekalan elektrik. Oleh itu, pejabat saya menyediakan generator untuk penduduk menikmati kemudahan berkenaan.

“Begitu juga dengan bekalan air. Loji sedia ada di Sungai Penawan tidak mampu menampung peningkatan permintaan dan saya terpaksa meminta penduduk mengambil air graviti (air yang diambil dari bukit).

“Oleh itu, penduduk terpaksa bersabar sementara menunggu loji air di Sungai Mesopol bernilai RM24 juta siap,” katanya.

Bagi membantu penduduk meningkatkan sosio-ekonomi, Bobbey memberi tumpuan kepada sektor pertanian dan perladangan berikutan prospeknya yang cerah.

Katanya, lebih 80 peratus penduduk di kawasan itu adalah petani yang mempunyai kebun getah dan kelapa sawit.

Setiap tahun, beliau membelanjakan RM150,000 membeli benih pokok getah untuk diedar secara percuma kepada penduduk kampung., sejajar matlamat mahu mereka memiliki sekurang-kurangnya dua hektar getah.

“Ini bagi membolehkan kerajaan mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan dan kemiskinan tegar kerana penduduk yang mempunyai kebun getah itu mampu memperoleh sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan,” katanya.

Atas keprihatinannya terhadap Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT), Bobbey membantu usaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah membawa projek Mini Estet Sejahtera (Mesej) ke Labang, dekat Nabawan.

Melalui program berkenaan, 50 KIRMT diberikan peluang memiliki dan mengusahakan empat hektar kebun getah.

Bagi merancakkan kemajuan dalam sektor pertanian dan penternakan, beliau mencadangkan tanah seluas 2,400 hektar di mukim Pegalungan dijadikan kawasan berpotensi dimajukan dengan projek Agropolitan, iaitu projek pembangunan bandar dalam kawasan pertanian.

“Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengenal pasti tanaman sesuai untuk dimajukan di kawasan itu. Saya mahu melihat masyarakat Pegalungan menikmati peningkatan sosioekonomi dan sosial hasil daripada projek Agropolitan,” katanya.

Beliau turut memperuntukkan RM50,000 membeli benih kayu gaharu untuk diagih kepada anggota masyarakat. Dalam tempoh tujuh tahun akan datang, mereka bakal menikmati keuntungan apabila gaharu berkenaan mengeluarkan hasil.

Mengenai kemajuan fizikal, masyarakat di DUN Nabawan kini menikmati kemudahan Perpustakaan Daerah bernilai RM1.5 juta yang disiapkan baru-baru ini.

Selain itu, Kementerian Kesihatan juga sudah meluluskan peruntukan RM25 juta bagi membina Klinik Kesihatan Kelas 4 di pekan Nabawan. Ia bakal menyediakan wad, jabatan x-ray dan wad kecemasan berbanding pesakit terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Keningau seperti sekarang.

Bobbey yang berpandangan luas mengenai aspek masa depan, sudah mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri supaya membina pekan baru Nabawan di kawasan berhampiran jalan utama Nabawan-Sepulot, berikutan jangkaan pekan kecil Sepulot akan meningkat maju sejajar fungsinya sebagai penghubung laluan Sepulot-Kalabakan.

Rumusannya, Bobbey anak jati Murut di Pensiangan tidak akan membiarkan anggota masyarakat di luar bandar terus ketinggalan dari aspek pembangunan fizikal, sosio-ekonomi, politik dan sosial. Mereka akan terus dimajukan sejajar konsep pembangunan menyeluruh untuk setiap rakyat yang didukung oleh Barisan Nasional (BN).

PROFIL: Datuk Bobbey Suan

  • Tarikh lahir: 9 September 1954
  • Asal: Kampung Tampanon, Pensiangan
  • Isteri: Datin Barbara Edward
  • Anak: 2 orang (masing-masing lelaki berusia 31 tahun dan perempuan berusia 20 tahun)
  • Jawatan dalam parti: Naib Presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO)
  • Latar belakang politik: Menjadi calon Umno bagi merebut kerusi DUN Kemabong pada 1994 berehat daripada arena politik antara 2000 hingga 2004 menjadi calon Upko bagi merebut kerusi DUN Nabawan pada pilihan raya umum 2004.
  • Written by britapdlmn

    September 1, 2009 at 6:38 AM

    Posted in Uncategorized

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: