Berita Dari Pedalaman Sabah

Berita mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekitar kawasan pedalaman Sabah terutamanya di daerah Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan. Turut dimuatkan berita-berita yang menarik di sekitar negeri Sabah.

Polis Keningau berjaya tumpas cubaan edar dadah

leave a comment »

10th July, 2009

KENINGAU: Polis berjaya menum-paskan satu cubaan mengedar seberat 22.5 gram dadah di Keningau, yang dipercayai mampu memusnahkan masa depan ratusan pengguna, khususnnya anak remaja di daerah ini.

Ketua Polis Keningau, DSP Zahari Mohammed, memberitahu, kejayaan itu merupakan yang kedua terbesar di Keningau pada tahun ini.

Tahun lepas polis Keningau mencatatkan sejarah tersendiri, selepas berjaya menumpaskan pengedaran dadah terbesar di daerah ini.

Dua orang suspek seorang penduduk tempatan berumur 38 tahun dan seorang warga asing, dipercayai perancang pengedaran itu turut ditahan, kira-kira jam 1.20 petang di Kg. Bingkor Lama pada Selasa.

Sebuah kenderaan jenis ‘pick-up’ yang dilaporkan hilang di Karamunsing pada Khamis lalu, turut ditemui di premis tidak bernombor di kampung itu, dipercayai digunakan untuk tujuan pengedaran dadah daripada jenis syabu itu.

Kedua-dua suspek ditahan di IPD Keningau dan akan didakwa di bawah Seksyen 39A(1) 1952 Akta Dadah Merbahaya, yang membawa hukuman penjara minima 2 tahun atau maksima 5 tahun serta 3 kali sebatan.

Zahari berkata, dadah berkenaan yang sebahagiannya telah dibungkus dan bersedia untuk diedarkan dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000.00.

Polis percaya, kedua-dua suspek menjadikan premis di Kg. Bingkor Lama di mana mereka ditangkap dijadikan pusat pengedaran dadah berkenaan, untuk pengguna di kawasan itu serta daerah Keningau.

Ketua Polis itu menjelaskan, polis turut percaya pengedar sedang memperkenalkan kaedah suntikan kepada penagih, dengan menggunakan syabu berikutan penemuan beberapa batang jarum yang masih belum digunakan.

Katannya, setakat ini dadah daripada jenis heroin masih belum ditemui di daerah ini, tetapi polis yakin jarum yang ditemui dalam rampasan itu digunakan untuk ‘ka-edah pengedaran baru’, dalam usaha mendapatkan keuntungan yang besar.

Syabu dijual dalam harga antara RM50 hingga RM80 dalam satu tiub, dan pengedar memperolehi keuntungan berlipat kali ganda dengan menggunakan ‘jarum’.

Menurutnya, dengan penggunaan jarum penagih dadah kini terdedah dengan pelbagai penyakit merbahaya, khususnya HIV-Aids. Menjawab satu soalan, Zahari berkata polis bekerja keras untuk membanteras pengedaran dadah di daerah ini.

“Kita bekerja … kita tidak ada kompromi dengan mereka (pengedar dadah),” katannya.

Beliau merayu kepada orang ramai supaya sentiasa memperkasakan hubungan dengan polis, dalam usaha untuk membanteras pengedaran dadah di sini.

Written by britapdlmn

July 10, 2009 at 2:45 PM

Posted in Uncategorized

Leave a comment